Make your own free website on Tripod.com
Home | BERITA | DOWNLOAD

JABATAN PENERANGAN DAERAH HILIR PERAK

BERITA

SUMBER MAKLUMAT ANDA

Bahaya makanan segera -- 200 jenis produk digemari jadi punca pelbagai penyakit

Oleh: S. ANAND KUMAR dan NURUL ANUAR KARI

KUALA LUMPUR 20Feb.– Percayakah anda bahawa terdapat sekurangkurangnya 200 jenis makanan segera yang amat digemari rakyat negara ini menjadi punca pelbagai penyakit kritikal penduduk Malaysia.

Mereka terdedah kepada makanan itu yang mengandungi kandungan lemak trans-fats, gula, garam dan bahan kimia yang tinggi. Ia juga dikategorikan sebagai ‘sampah’ dan mengancam kesihatan terutama kanak-kanak.

Penyakit-penyakit yang dicetuskan oleh makanan ini adalah kegemukan, diabetes, jantung dan kanser.

Apa itu makanan segera? Laman web Wikipedia merujuk makanan segera sebagai makanan yang dimasak terlebih dahulu dalam jumlah yang besar dan cuma perlu dipanaskan semula mengikut kehendak pembeli.

Ia biasanya tidak berkhasiat dan pendedahan mengenai keburukannya mengatasi kebaikan.

Dalam konteks Malaysia, ia bukan lagi datangnya dari restoran-restoran makanan segera yang lazim dikenali, tapi merangkumi makanan sejuk beku yang dipercayai mengandungi bahan pengawet yang berbahaya.

Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), antara makanan dan minuman segera yang dikategorikan sebagai tidak berkhasiat ialah mi segera, minuman bergas, gula-gula, burger dan coklat.

Makanan terbabit merupakan penyumbang kepada penyakit seperti sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang yang dihidapi kira-kira tiga juta penduduk negara ini.

Malah, dua juta rakyat negara ini iaitu 8.5 peratus daripada 26 juta penduduk, didapati menghidap penyakit diabetes, yang kebanyakannya berpunca daripada makanan.

CAP dalam kajiannya turut mendapati hampir keseluruhan murid-murid sekolah menjadi sasaran kepada makanan segera dan terdedah kepada gejala penyakit kritikal itu sejak di usia muda.

Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris berkata, kandungan gula berlebihan dan pewarna tiruan merupakan antara ‘racun’ yang tersembunyi dalam makan segera.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Hospital Pakar Shah Alam, Dr. Zulkarnain Ahmad Hamidy berkata, pengambilan makanan segera yang berlebihan dan malas bersenam akan menyumbang kepada obesiti yang menjadi punca segala penyakit termasuk darah tinggi, masalah jantung, kencing manis dan kegagalan buah pinggang.

Katanya, kebanyakan menu makanan segera mengandungi kadar karbohidrat yang tinggi tanpa vitamin atau zat berfaedah terutama untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

Beliau menjelaskan, kalori yang memasuki badan sukar untuk dibuang dan ini akan membawa kepada masalah kesihatan seperti kegemukan dan masalah jantung.

Menurutnya, sejumlah besar kalori dalam makanan segera tidak diperlukan dan akan mengganggu sistem metabolisme badan, seterusnya dikumpul menjadi lemak.

‘‘Oleh itu, amalan untuk mengekang pengambilan makanan segera perlu dimulakan dengan pendidikan golongan muda tentang pemakanan seimbang dari bangku sekolah lagi,’’ katanya.

Ibu bapa katanya, perlu menghentikan segera amalan ‘membesarkan’ anak-anak dengan makanan segera yang sememangnya diketahui mengandungi jumlah kalori yang tinggi.

Zulkarnain berkata, anak-anak tidak memahami baik buruk makanan segera tetapi tetap memilihnya disebabkan mentaliti yang diterap oleh ibu bapa masing-masing.

Pada masa yang sama, kajian CAP juga mendapati kanak-kanak yang gemar memakan makanan segera kurang aktif berbanding rakan sebaya mereka yang mengamalkan pemakanan sihat.

‘‘CAP mendefinisikan makanan segera sebagai ‘sampah’ kerana ia tidak berkhasiat dan boleh mendatangkan mudarat jika diambil dalam kuantiti yang banyak.

‘‘Pada kebiasaannya kanak-kanak yang mengambil makanan segera akan cepat kenyang dan tidak berselera terhadap makanan lain seperti nasi, sayur dan buah-buahan,’’ kata Mohamed Idris.

Afi dan Abah saingi Mr.Bean?


ZAINIR Aminullah (berdiri di belakang, tiga dari kanan) bersama sebahagian kanak-kanak pada majlis pelancaran Astro Ceria Run for Fun di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

BELUM pun mencecah usia setahun, saluran Astro Ceria mencatat sejarahnya sendiri apabila berjaya menduduki dua tempat teratas daripada lima saluran kanak-kanak popular yang disiarkan stesen TV berbayar, Astro.

Malah, sejak awal Januari lalu, program terbitannya, Afi dan Abah telah berjaya menyaingi rating rancangan popular, Mr. Bean.

Program berkonsep drama komedi sebanyak 26 episod yang disiarkan selama setengah jam setiap Ahad pukul 11 pagi itu dijayakan oleh Muhammad Rieefqie Shah Jamaluddin Shah (Afi), Reza Zainal Abidin (Jefri) dan Marisa Yasmin Yaakob (Faridah) sebagai pelakon utama.

“Biarpun masih belum mendapat angka sebenar, kami percaya kejayaan itu adalah bukti bahawa kita mampu menerbitkan program yang bukan sahaja berkualiti, malah boleh memberi cabaran kepada program antarabangsa,” kata Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah.

Zainir ditemui pada majlis pelancaran Astro Ceria Run for Fun di Seri Kembangan, Selangor, Isnin lalu.

Sejak dilancarkan 31 Ogos tahun lalu, Astro Ceria yang bersiaran 24 jam menyiarkan rancangan popular kanak-

kanak terbitan tempatan dan antarabangsa.

Selain drama Afi dan Abah, program Gerak Geri Gasing juga menjadi antara program permainan tempatan paling hangat dan mendapat sambutan.

Menurut Zainir, Astro Ceria mendapat perhatian bukan sahaja kerana menyediakan kandungan rancangan tempatan dan antarabangsa popular.

Malah, pihaknya percaya penggunaan bahasa Malaysia bagi ke semua programnya merupakan antara faktor tarikan kepada penonton.

“Nampaknya ia menjadi satu formula yang berjaya,” ujar Zainir lagi.

Zainir berkata, pihaknya juga akan mempertingkatkan lagi penerbitan program-program tempatan selain terus mencari program yang sesuai bagi saluran tersebut.

“Oleh kerana ia juga disiarkan di Indonesia, kita perlu mencari bahan dan isi kandungan yang lebih sesuai untuk kedua-dua budaya,” tambahnya.

Pada majlis sama Zainir turut mengumumkan program Astro Ceria Run for Fun. Program larian maraton mini dan karnival itu bertujuan mendekati khalayak menerusi program terbitan dan aktiviti riadah.

Program pertamanya sudah pun diadakan pada 18 Mac di Taman Perbandaran MPPP (Youth Park), Pulau Pinang.

Sementara lokasi kedua iaitu di Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor akan diadakan pada 25 Mac ini.

Turut memeriahkan sambutan itu nanti ialah selebriti Astro Ceria termasuk Abang Zoey dan Mat Kacau daripada program Gerak Geri Gasing dan barisan pelakon Afi dan Abah

selain personaliti Astro seperti Zainal Alam Kadir, Yasmin Hani dan Ashraf

Sinclair serta bintang Akademi Fantasia seperti Zahid, Farah, Keifli, Yazer dan Eliza.

Mengenai larian maraton yang akan diadakan, kata Zainir, ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu bagi mereka yang berumur 8 hingga 12 tahun dan 13 hingga 15 tahun.

Kepada mereka yang berminat boleh menghubungi Hotline Astro Ceria Run for Fun di 1-300-88-2488 untuk pendaftaran terus atau layari laman web www.astro.com.my/astroceria untuk pertanyaan lanjut.

Tiga beranak bertemu semula selepas 49 tahun terpisah


HAJAT TERMAKBUL...Noorzilah Zakaria (kanan) memberikan angpau kepada ibu kandungnya, Law Ha Keok yang terpisah sejak 49 tahun lalu di Taman Biru, Sitiawan, Perak, semalam. – Gambar NORSHARUDDIN SAPIAN.

SITIAWAN 20 Feb. – Sambutan Tahun Baru Cina bagi sebuah keluarga di Taman Biru, Ayer Tawar, dekat sini semalam, amat bermakna apabila seorang anak yang terpisah dengan ibu bapa kandungnya sejak 49 tahun lalu akhirnya bertemu semula.

Pertemuan Noorzilah Zakaria, 49, dengan bapanya, Ling Eng Chai, 74, dan ibunya, Law Ha Keok, 74, yang terpisah sejak 1958 itu cukup istimewa bagi mereka anak beranak yang menangis kegembiraan ketika bertemu buat kali pertama.

Noorzilah atau nama asalnya Ling Hwa Choo terpisah dengan ibu bapanya selepas dia diserahkan kepada keluarga Islam ketika berusia 18 hari ekoran faktor kemiskinan keluarga.

Dia kini sudah berumah tangga dan dikurniakan lapan orang anak.

Menurut Noorzilah, dia bersyukur kepada Allah kerana hajatnya untuk bertemu semula dengan ibu bapa kandungnya termakbul.

‘‘Selepas bertemu dengan mereka, barulah saya tahu nama sebenar saya Ling Hwa Choo. Walaupun ibu bapa dan adik-beradik yang lain berlainan agama, namun semuanya tetap darah daging saya.

“Tanpa kedua-dua mereka saya tidak mungkin dilahirkan ke dunia ini,” katanya kepada Utusan Malaysia dengan linangan air mata.

Menurut Noorzilah, dia diserahkan kepada bapa dan ibu angkatnya kerana ibu bapa kandungnya sangat miskin.

“Saya diberitahu, ketika itu mereka hanya mengharapkan upah menoreh getah di Kampung Api Kong, Ayer Tawar dan terpaksa menyara lima anak yang lain.

“Saya dibesarkan oleh sebuah keluarga Melayu iaitu arwah bapa dan ibu angkat Zakaria Kassim dan Nijah Muda yang ketika itu ingin memiliki cahaya mata,” katanya.

Noorzilah berkata, ketika kedua-dua ibu bapa angkatnya keluar bekerja, dia dijaga oleh seorang jiran Abdul Aziz Shamsuddin, 80, dan isterinya Salasiah Awaluddin, 60, yang bekerja kampung.

Mengimbas pertemuan dengan ibu bapa kandungnya, kata Noorzilah, ia menjadi kenyataan berikutan kesungguhan suaminya, Jenuwa Husin yang dibantu bapa saudaranya berusaha mencari keluarga kandungnya.

“Dengan takdir Allah, dalam masa sehari saya dapat menatap wajah ibu bapa kandung,” katanya.

Jelasnya, selepas mencari mereka mulai awal pagi 18 Februari lalu akhirnya dia berjaya bertemu dengan keluarga kandungnya kira-kira pukul 7 malam pada hari yang sama.

‘‘Sambutan yang saya terima daripada keluarga kandung sangat mesra, malah saya mula memanggil ibu bapa kandung saya dengan panggilan yang sepatutnya,” kata beliau.

Pengakap-Pramuka Perkukuh Erti 50 Tahun Hubungan Diplomatik

Oleh Mohd Nasir Yusoff

JAKARTA, 22 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerjasama antara Pengakap Malaysia dan Pramuka Indonesia telah memberi makna yang lebih mendalam dan memperkukuhkan lagi hubungan antara rakyat sempena 50 tahun terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia-Indonesia.

Perdana Menteri berkata beliau gembira pergerakan Pengakap dan Pramuka kini telah menjadi jambatan untuk meningkatkan lagi hubungan antara rakyat kedua-dua negara yang telah menjalin hubungan diplomatik sebaik sahaja Malaysia mencapai kemerdekaan.

"Jambatan ini ialah jambatan persahabatan yang diwujudkan oleh Pengakap dan Pramuka," katanya disambut tepukan gemuruh lebih 300 anggota Pengakap Kelana Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dan pemimpin perniagaan Malaysia di sini pada majlis jamuan malam Pengakap Kelana Indonesia bersama Perdana Menteri di sini.

Pada majlis itu, Abdullah yang juga Presiden Agung Pengakap Malaysia merasmikan penubuhan Pengakap Kelana luar negara, dengan menyerahkan bendera Pengakap Kelana kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain yang juga Ketua Pengakap Negeri cawangan Indonesia.

Abdullah juga menyempurnakan pelantikan Pesuruhjaya Pengakap Kelana di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar, yang juga pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia. Setakat ini 120 pelajar perubatan Malaysia di Jakarta menyertai Pengakap Kelana.

Perdana Menteri kemudiannya memberikan cabaran kepada kira-kira 50 pemimpin perniagaan Malaysia di Indonesia supaya mendorong dan menjadikan anak-anak mahupun cucu masing-masing sebagai anggota pengakap, baik di Malaysia atau di Indonesia.

"Kalau tidak pun, tengok-tengoklah dan sesekali bantulah Pengakap Kelana pertama di luar negeri ini," katanya.

Abdullah berkata beliau yang membesar dalam masyarakat Melayu berlatarbelakang pendidikan agama semasa di kampungnya di Pulau Pinang, telah merasai sendiri kebaikan menyertai pergerakan pengakap kerana di situlah beliau pertama kalinya menimba pengalaman bergaul dengan anak-anak pengakap berbilang kaum.

"Dengan pengakaplah, tersemai nilai-nilai luhur semangat setiakawan pengakap, yang menjalin persahabatan dengan pelajar lain yang pelbagai kaum. Kami tak lagi menyedari adanya perbezaan keturunan, bangsa, agama dan loghat.

"Kami menjadi sahabat baik. Kami sama-sama berusaha untuk mencapai matlamat yang digariskan dengan penuh tanggungjawab. Dan, dengan semua itu, saya percaya dengan slogan 'Sekali Menjadi Seorang Pengakap, Selamanya Seorang Pengakap'," katanya yang menyebutkan satu persatu lencana pengakap yang pernah diraihnya.

Katanya, semasa menjadi Menteri Pelajaran beliau telah meminta kegiatan seperti pengakap yang memberi banyak manfaat daripada segi kemahiran hidup dan semangat setiakawan diperluaskan di sekolah-sekolah.

-- BERNAMA

SUMBER : PUSAT MAKLUMAT RAKYAT | BERNAMA | UTUSAN MALAYSIA | BERITA HARIAN